ADA APA DENGAN
MAKANAN DAN PKP?
Seperti yang kita tahu, wabak Covid-19
yang mula dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 hingga kini telah
memberi impak yang besar kepada seluruh dunia dalam pelbagai aspek termasuk
aspek kekeluargaan dimana ramai yang terpaksa memendam perasaaan rindu kerana
terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga. Hal ini disebabkan kerana perlaksanaan
kawalan pergerakan iaitu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang
telah dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengawal
dan membendung penularan wabak Covid-19.
Hal yang sama juga telah
dilaksanakan di peringkat antarabangsa dimana kawalan pergerakan telah
diperketatkan di seluruh dunia. Secara tidak langsung sempadan antarabangsa
telah ditutup buat masa ini dan sudah pasti ramai yang terjejas terutamanya
dari aspek ekonomi dan sosial. Maka ramai pelajar dan rakyat Malaysia yang
berkerja di luar negara turut terkandas dan ia memberi cabaran dari segi mental
dan fizikal.
Seterusnya, pada tahun ini juga terdapat
banyak aktiviti yang terpaksa dibatalkan termasuk majlis perkahwinan, sambutan
perayaan, rancangan percutian dan sebagainya. Walaubagaimanapun, dengan
kecanggihan teknologi maklumat dan pelbagai medium sosial media yang ada pada
masa kini, ikatan silaturahim dapat dipereratkan dan terdapat banyak cara yang
telah dilakukan untuk memelihara hubungan kekeluargaan seperti panggilan video,
perjumpaan maya melalui aplikasi Zoom Meeting, dan sebagainya.
Selain daripada itu, perintah
kawalan pergerakan yang mengehadkan pergerakan setiap isi rumah secara tidak
langsung dapat memberi ruang untuk setiap ahli keluarga untuk meluangkan masa
bersama keluarga. Terdapat banyak aktiviti menarik yang telah viral terutamanya
minat untuk memasak dan antara resepi yang diviralkan adalah kuih Penjeram,
Kopi Dalgona, Kek Marble, Biskut Kacang Mentega, dan banyak lagi termasuk
halaman-halaman sosial media di Facebook yang turut sama menjadi sebutan ramai
seperti “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni”, saluran Youtube “Sugu dan Pavithra” dan
sebagainya.
Secara amnya, kita dapat lihat
rakyat di Malaysia sememangnya bersifat “family-oriented” dan sudah pasti wabak
Covid-19 tidak mematahkan semangat kekeluargaan dikalangan rakyat. Hal ini juga
menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat bersatu memerangi
wabak ini menerusi toleransi dan persefahaman antara kaum. Contohnya, perkongsian
idea masakan daripada pelbagai kaum, sifat hormat antara satu sama lain dimana
kita dapat lihat terdapat banyak gerai makanan Melayu, Cina dan India yang
berniaga di bawah satu bumbung.
Demikianlah bak kata pepatah “air
dicincang tak akan putus”, begitu juga dengan sifat kekeluargaan rakyat
Malaysia yang masih terjalin erat menerusi aktiviti harian seperti memasak.
Maka marilah kita bersama-sama memelihara keindahan dan keharmonian yang ada di
negara kita dengan mengekalkan sifat hormat antara satu sama lain dan meneruskan
kebiasaaan kita bersama-sama bersuka ria memasak di dapur.
No comments:
Post a Comment