Tuesday, 10 November 2020

 

ADA APA DENGAN MAKANAN DAN PKP?




 

Seperti yang kita tahu, wabak Covid-19 yang mula dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 hingga kini telah memberi impak yang besar kepada seluruh dunia dalam pelbagai aspek termasuk aspek kekeluargaan dimana ramai yang terpaksa memendam perasaaan rindu kerana terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga. Hal ini disebabkan kerana perlaksanaan kawalan pergerakan iaitu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang telah dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengawal dan membendung penularan wabak Covid-19.

 


Hal yang sama juga telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa dimana kawalan pergerakan telah diperketatkan di seluruh dunia. Secara tidak langsung sempadan antarabangsa telah ditutup buat masa ini dan sudah pasti ramai yang terjejas terutamanya dari aspek ekonomi dan sosial. Maka ramai pelajar dan rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara turut terkandas dan ia memberi cabaran dari segi mental dan fizikal.

 

Seterusnya, pada tahun ini juga terdapat banyak aktiviti yang terpaksa dibatalkan termasuk majlis perkahwinan, sambutan perayaan, rancangan percutian dan sebagainya. Walaubagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi maklumat dan pelbagai medium sosial media yang ada pada masa kini, ikatan silaturahim dapat dipereratkan dan terdapat banyak cara yang telah dilakukan untuk memelihara hubungan kekeluargaan seperti panggilan video, perjumpaan maya melalui aplikasi Zoom Meeting, dan sebagainya.

 


Selain daripada itu, perintah kawalan pergerakan yang mengehadkan pergerakan setiap isi rumah secara tidak langsung dapat memberi ruang untuk setiap ahli keluarga untuk meluangkan masa bersama keluarga. Terdapat banyak aktiviti menarik yang telah viral terutamanya minat untuk memasak dan antara resepi yang diviralkan adalah kuih Penjeram, Kopi Dalgona, Kek Marble, Biskut Kacang Mentega, dan banyak lagi termasuk halaman-halaman sosial media di Facebook yang turut sama menjadi sebutan ramai seperti “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni”, saluran Youtube “Sugu dan Pavithra” dan sebagainya.

 



Secara amnya, kita dapat lihat rakyat di Malaysia sememangnya bersifat “family-oriented” dan sudah pasti wabak Covid-19 tidak mematahkan semangat kekeluargaan dikalangan rakyat. Hal ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat bersatu memerangi wabak ini menerusi toleransi dan persefahaman antara kaum. Contohnya, perkongsian idea masakan daripada pelbagai kaum, sifat hormat antara satu sama lain dimana kita dapat lihat terdapat banyak gerai makanan Melayu, Cina dan India yang berniaga di bawah satu bumbung.

 

Demikianlah bak kata pepatah “air dicincang tak akan putus”, begitu juga dengan sifat kekeluargaan rakyat Malaysia yang masih terjalin erat menerusi aktiviti harian seperti memasak. Maka marilah kita bersama-sama memelihara keindahan dan keharmonian yang ada di negara kita dengan mengekalkan sifat hormat antara satu sama lain dan meneruskan kebiasaaan kita bersama-sama bersuka ria memasak di dapur.